Seorang wanita dan dua anaknya ditemukan mati di dalam bilik rumah mereka di Kampung Baru Ampang, Ampang dekat sini.
Mayat tiga beranak itu ditemukan di dalam bilik tidur pertama dengan pintu dan tingkap bilik ditutup rapat menggunakan pita pelekat.
Kejadian itu hanya disedari bekas teman lelaki mangsa yang menyewa bilik di kediaman itu sebelum menghubungi polis.
Susulan maklumat itu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, bergegas ke lokasi sebelum menemui jasad tiga beranak itu dalam sebuah bilik.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, turut ditemukan arang bersama penyala api diletakkan di bawah sofa bilik itu serta surat wasiat dan wang bercampur.
“Polis percaya ini adalah kes bunuh diri dan tempoh kematian melebihi 24 jam.
“Bagaimanapun siasatan diteruskan bagi mengenal pasti motif dan mengesan sebarang unsur jenayah sekiranya ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wanita yang bekerja sebagai jurujual pencuci rambut berusia 42 tahun itu, tinggal bersama anak lelakinya yang berusia 14 tahun dan anak perempuannya yang berusia 15 tahun di apartment itu sejak 2018.