Tiga rakan maut selepas Perodua Bezza dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kilometer 50.1 Lebuh Raya Senai-Desaru menghala ke Bandar Penawar, di sini hari ini.
Mangsa maut dikenali sebagai Iqbal Faiz Mat Sah, 20, Nurul Afrahrina Sazli, 19, dan Nurina Izzatie Kamarul Azman, 19.Manakala seorang lagi penumpang kenderaan sama Izznur Harith, 19, mengalami cedera parah.
Teruskan MembacaKomander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan I (KUP) Izwani Abd Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kemalangan itu pada pukul 1.43 petang.
Katanya, seramai 14 anggota dari BBP Penawar dan BBP Pasir Gudang dikejarkan ke lokasi kejadian bagi usaha menyelamat dalam kemalangan yang melibatkan sembilan orang mangsa itu.
“Kemalangan itu melibatkan tiga buah kereta iaitu Perodua Bezza, Toyota Innova dan Volkswagen.
“Terdapat empat orang mangsa cedera ringan dari kenderaan Toyota Innova, manakala mangsa menaiki Perodua Bezza tedapat seorang mangsa cedera parah sementara tiga yang lain disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Pemandu Volkswagen pula selamat. Pasukan operasi bertindak mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan khas sehingga mangsa berjaya dibawa keluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kesemua mangsa cedera telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan manakala mangsa meninggal diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.