Dua daripada tujuh penuntut kursus tempur pegawai muda yang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi, Johor akibat simptom strok haba telah dibenarkan keluar.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam kenyataan berkata, lima penuntut masih dirawat dan dilaporkan stabil manakala dua lagi yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail telah sedarkan diri.
Teruskan MembacaPada 13 Oktober lalu, 10 penuntut kursus telah rebah secara berperingkat di beberapa lokasi sepanjang laluan eksesais Wira Lasak iaitu Ujian Jalan Laju lapan kilometer (KM) di sekitar kawasan Lapang Sasar Utara, Pulada, Ulu Tiram, Johor.
Kesemua penuntut dirujuk ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan awal, manakala tiga daripada mereka telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Wad ICU (Zon Merah) kerana tidak sedarkan diri.
“Seorang daripada mereka telah disahkan meninggal dunia akibat strok haba pada 15 Oktober lalu dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Tasik Puteri, Rawang Selangor,” katanya.
“Tentera Darat memandang serius insiden ini dan akan berusaha mengenal pasti punca kejadian di samping melaksanakan penambahbaikan kepada pengendalian sistem latihan sedia ada, jika perlu,” kata kenyataan itu.