Terkini

Skim Perubatan Madani diperluas lagi

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperluaskan Skim Perubatan Madani ke 11 lagi daerah lain bagi membantu lebih ramai rakyat khususnya kumpulan B40 mendapatkan rawatan di klinik perubatan swasta umum (GP).

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pelaksanaan skim berkenaan telah dimulakan di 10 daerah sejak 15 Jun lalu sebagai salah satu inisiatif Bitara Madani bagi mengatasi isu kesesakan pesakit di fasiliti kesihatan kerajaan.

Menurut beliau, bagi 11 daerah terbaharu itu, empat daerah iaitu Kota Setar, Kuala Muda (Kedah), Kuala Terengganu dan Kuala Nerus (Terengganu) akan bermula pada minggu kedua bulan ini.

“Seterusnya, daerah-daerah lain seperti Kota Bharu, Pasir Mas (Kelantan), Kuantan (Pahang), Melaka Tengah (Melaka), Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang) dan Perlis akan bermula pada minggu keempat bulan ini.

“Skim Perubatan Madani yang ditawarkan secara automatik kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah, dapat membantu meringankan beban kewangan rakyat dengan menampung kos rawatan kes-kes akut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Zaliha berkata, perkhidmatan percuma yang ditawarkan adalah seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan di klinik perubatan swasta umum.

Pelbagai

Scroll to Top