Seorang pengasuh sebuah taska didakwa di Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya, atas tuduhan pengabaian sehingga membawa kematian Qaseh Aulia Faizul yang berusia dua bulan, bulan lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Mulyati Kalim, 51, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.
Teruskan MembacaMengikut pertuduhan, Mulyati yang juga warga Indonesia didakwa sebagai orang dipertanggungjawab untuk menjaga bayi bernama Qaseh Aulia berusia dua bulan, mengabaikan bayi itu dengan meninggalkannya tanpa pengawasan sehingga membawa kepada kematiannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taska Juara di Jalan Cecawi, Kota Damansara di sini jam 9.40 pagi pada 10 Oktober lalu.
Ibu kepada empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntuk denda maksimum RM50,000 atau boleh dipenjara selama tempoh melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya P Vithiya Monisha tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kes serius sehingga membawa kematian bayi.
“Sekiranya mahkamah mahu tertuduh dijamin, pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan melapor diri ke balai sehingga kes selesai dan pasport diserahkan untuk simpanan mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.
Peguam Badrul Munir Bukhari yang mewakili tertuduh memohon mahkamah jaminan rendah atas alasan anak guamnya berkahwin dengan warga tempatan, selain mempunyai empat anak yang perlu ditanggung.
“Anak guam sekarang tidak mempunyai pendapatan kerana tempat dia bekerja ditutup oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bergantung kepada suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan. Mohon anak guam dibenarkan jaminan rendah,” katanya.
Hakim Syahliza membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin tempatan dan syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan, selain tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai serta menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes. – BH
Baca juga: