Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan insiden pertengkaran antara sepasang suami isteri di sebuah pasar raya. Namun begitu, setelah disiasat, ternyata video berkenaan hanyalah sebahagian daripada gimik pemasaran yang dijalankan oleh ST Rosyam Mart, iaitu rangkaian pasar raya milik pelakon terkenal tanah air, Datuk Rosyam Nor.
Walau bagaimanapun, gimik tersebut telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Sebahagian pihak menyifatkan pendekatan itu sebagai tidak sensitif, memandangkan ia memperlihatkan unsur keganasan rumah tangga serta dianggap tidak menghormati golongan yang sedang berdepan dengan konflik sebenar dalam perkahwinan mereka.
Teruskan MembacaKontroversi ini turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa apabila seorang wanita berbangsa Yahudi, Dahlia Kurtz, memuat naik video berkenaan di platform X (dahulunya Twitter) bersama kapsyen yang menimbulkan persepsi negatif terhadap masyarakat Islam. Tindakan tersebut menerima kecaman netizen, dan pihak pengguna platform X turut menambah konteks pada hantaran asal dengan menjelaskan bahawa video tersebut hanyalah satu gimik pemasaran.
Di Malaysia, rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa tidak puas hati dan menzahirkan kebimbangan terhadap implikasi negatif yang mungkin timbul daripada gimik berkenaan. Ramai yang berpendapat bahawa video itu telah menjejaskan imej Islam, malah memberi ruang kepada pihak luar untuk mengkritik agama tersebut secara terbuka dan berlebihan.