Terkini

Kebakaran bilik kabel punca bunyi letupan di Menara LPP

Kakitangan di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur  dikejutkan dengan bunyi seperti letupan dan bau hangit dari bahagian bawah bangunan.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan kejadian itu berpunca daripada kebakaran di dalam bilik kabel bawah tanah.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 2.09 petang menerima maklumat daripada orang awam bahawa terdapat letupan di bilik elektrik.

“Hasil pemeriksaan anggota bomba bersama chargeman bangunan mendapati letupan berpunca daripada kebakaran kabel di dalam bilik tanah.

“Kebakaran tidak melibatkan struktur bangunan dan tiada mangsa di lokasi. Kerja-kerja diserahkan kepada pengurusan bangunan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut saksi, kejadian mula disedari kira-kira pukul 1.40 tengah hari apabila terdapat bau hangit seakan-akan terbakar dari salah sebuah bilik di tingkat bawah bangunan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang dijadualkan menghadiri sesi taklimat tertutup bersama ketua-ketua pengarang agensi media pada pukul 2.30 petang di Menara LPP turut berada di lokasi kejadian.

Lokasi taklimat kemudian dipindahkan ke bangunan Jabatan Pertanian yang terletak bersebelahan atas faktor keselamatan.

Pelbagai

Scroll to Top