PETALING JAYA: Rayuan terakhir pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, untuk gugurkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun, ditolak Mahkamah Rayuan semalam.
Teruskan MembacaPanel tiga hakim diketuai Hakim Azman Abdullah sebulat suara setuju keputusan Mahkamah Sesyen pada 3 Mei 2023 dikekalkan.
“Kami dapati pihak pendakwaan berjaya buktikan kes melampaui keraguan munasabah. Sabitan ini kukuh,” kata beliau.
Menurut Hakim Azman, kecederaan dialami Bella, remaja sindrom Down berusia 13 tahun ketika kejadian pada 2021 bukan akibat kemalangan atau perbuatan sendiri, tapi hasil penderaan.
Bukti bergambar di mahkamah menunjukkan luka pada tangan, kecederaan lama di kepala, muka, leher dan belakang, serta kesan melecur. Hakim turut menyatakan, “haiwan tanpa akal pun tak sanggup buat kecederaan sebegitu.”
Mahkamah Sesyen sebelum ini jatuhkan hukuman penjara 10 tahun untuk kesalahan mengabaikan dan 12 tahun untuk mendera, dijalankan serentak.
Selain hukuman penjara, Siti Bainun, 33, juga perlu tandatangan bon berkelakuan baik bernilai RM5,000 selama lima tahun dengan seorang penjamin, serta buat 200 jam khidmat masyarakat dalam masa enam bulan selepas dibebaskan.
Mahkamah Tinggi pada Mei tahun lepas pun sudah kekalkan sabitan dan hukuman ini menjadikan keputusan hari ini penamat proses rayuan Siti Bainun.