Terkini

Mahkamah beri peluang akhir, kamu profesional kan? – Hakim

 “Mahkamah beri peluang terakhir…kamu profesional kan? Kerja sebagai jurutera…mahkamah harap kamu belajar daripada kesilapan,”.

Itu nasihat Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob sebelum menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM123,000 terhadap seorang bekas eksekutif (Pembinaan) Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) atas dua pertuduhan menerima suapan melibatkan wang bernilai lebih RM21,000 berhubung kerja-kerja penyelenggaraan.

Terdahulu tertuduh Mohd. Amal M Razalan, 36, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu pada prosiding sebutan kes hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,360 atau penjara 30 hari sekiranya denda gagal dibayar manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh turut dipenjara penjara sehari dan denda RM112,640 atau penjara 60 hari jika denda gagal dibayar.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Mohd. Amal sebagai Eksekutif (Pembinaan) Petronas Carigali Sdn. Bhd. didakwa telah secara rasuah menerima suapan berjumlah RM21,247.04 daripada seorang pengarah syarikat melalui cek Maybank Berhad milik syarikat itu dan melalui akaun Maybank Berhad milik sebuah lagi syarikat.

Perbuatan itu adalah hasil daripada persubahatan bersama seorang pengarah syarikat sebagai upah untuk dirinya membantu mendapatkan kerja-kerja perkhidmatan penyelenggaraan awam dan struktur untuk PCSB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Berhad cawangan KLCC, Jalan Ampang, di sini antara 21 Februari dan 6 Mac 2018 mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadhly Mohd. Zamry memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran bukan sahaja terhadap tertuduh tetapi juga masyarakat umum di masa akan datang.

Bagaimanapun, peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah insaf selain merupakan penanggung utama keluarga.

Sementara itu, dalam prosiding sama 41 lagi pertuduhan rasuah termasuk enam pengubahan wang haram yang dihadapi Mohd. Amal sebelum ini dipertimbangkan sebagai take into consideration (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 8 November lalu, Mohd. Amal dipenjara sehari dan didenda RM177,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan RM35,217.50 sebagai upah membantu sebuah syarikat lain bagi mendapatkan kerja-kerja penyelenggaraan struktur untuk PCSB. – KOSMO! ONLINE

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top