Terkini

“Bapa jenis apa yang merogol anak 105 kali!’

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan akhir untuk mengurangkan hukuman seorang bapa atas kesalahan merogol anak tiri perempuannya sebanyak 105 kali dalam tempoh dua tahun.

Ketika prosiding Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hadhariah Syed Ismail menegaskan perbuatan dilakukan lelaki berusia 36 tahun itu terhadap mangsa yang baru berusia 12 tahun tidak boleh dimaafkan.

“Bapa jenis apa yang merogol anak 105 kali? Satu kali pun kita tidak boleh maafkan, ini pula (lebih) 100 kali,” katanya.

Sebelum ini bapa tiri durjana itu dijatuhi hukuman penjara 42 tahun dan dikenakan 24 sebatan dan keputusan hari ini mengekalkan hukuman berkenaan yang disabitkan Mahkamah Tinggi Klang.

Keputusan sebulat suara itu dibuat bersama dua lagi hakim yang turut bersidang iatu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Hakim Datuk Azmi Ariffin.

Sebelum ini, pada 27 Januari 2021, Mahkamah Sesyen Klang menjatuhkan hukuman penjara 1,050 tahun terhadap tertuduh, antara rekod hukuman penjara tertinggi bagi kesalahan merogol.

Lelaki itu didakwa atas 105 pertuduhan merogol anak tirinya di sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor sejak 5 Januari 2018 hingga 24 Februari 2020.

Pelbagai

Scroll to Top