PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baru saja perkenalkan PRIME, singkatan bagi Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak sebagai langkah baharu untuk pastikan komunikasi negara tak terputus bila berlaku bencana atau kecemasan.
Teruskan MembacaSistem ini dibangunkan khas untuk digunakan di kawasan yang tiada liputan rangkaian sedia ada. Dengan adanya PRIME, agensi penyelamat, pasukan penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan boleh menyelaras operasi dengan lebih cepat dan teratur.
Menurut MCMC, PRIME mampu tingkatkan kecekapan misi menyelamat dan pada masa sama, mempercepat penyampaian maklumat tepat kepada mangsa bencana.
“PRIME memastikan komunikasi kekal berfungsi walaupun ketika bencana besar. Setiap misi boleh diselaras dengan lebih cekap,” kata MCMC dalam kenyataan di portal rasminya.
PRIME menggunakan gabungan teknologi moden termasuk satelit, rangkaian selular mudah alih, radio dua hala, Wi-Fi hotspot serta dron untuk meluaskan liputan di kawasan kritikal.
Selain waktu bencana, sistem ini juga boleh dimanfaatkan untuk program literasi digital luar bandar, menyokong pusat komuniti digital NADI, serta memperkukuh komunikasi semasa acara besar.
PRIME turut berfungsi sebagai saluran maklumat sahih untuk orang ramai, membantu agihan bantuan kemanusiaan dan menyediakan rangkaian sementara di lokasi terjejas.
Pelancaran PRIME ini selari dengan usaha MCMC memperkukuh infrastruktur digital negara, terutama selepas beberapa insiden bencana sebelum ini mendedahkan cabaran liputan komunikasi di kawasan pedalaman dan terpencil.