PUTRAJAYA: Rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk singkirkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan daripada terus dengar kes rasuah projek solar hibrid RM1.25 bilion melibatkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak, ditolak Mahkamah Rayuan hari ini.
Teruskan MembacaPanel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara menolak permintaan Rosmah selepas mendapati tiada asas kukuh. Dua lagi hakim yang bersama dalam panel ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Menurut Ahmad Zaidi, mahkamah yakin dengan integriti Mohamed Zaini yang kendalikan perbicaraan kes ini lebih dua tahun setengah. Katanya, sepanjang tempoh itu, Rosmah langsung tak pernah minta hakim tarik diri, cuma buat permohonan tersebut beberapa hari sebelum keputusan nak dibaca.
Hujah Rosmah yang berpandukan artikel blogger kontroversi Raja Petra Kamarudin juga ditolak, kerana dianggap tidak berwibawa.
“Selepas teliti dokumen, kami dapati alasan penghakiman sebenar setebal 116 muka surat berbeza dengan versi yang tersebar. Penjelasan hakim bahawa beliau tulis sendiri alasan penghakiman adalah konsisten,” jelas Ahmad Zaidi.
Untuk rekod, pada 1 September 2022, Rosmah, 74, didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah termasuk meminta RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin melalui pembantunya, Datuk Rizal Mansor.
Hakim Mohamed Zaini ketika itu jatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta. Tapi hukuman itu masih ditangguhkan sementara tunggu rayuan penuh terhadap sabitan dan hukuman berkenaan.
Prosiding hari ini turut dihadiri barisan peguam bela Rosmah termasuk Datuk Jagjit Singh, Datuk Akberdin Abdul Kader, Azrul Zulkifli Stork dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai.