Pelakon jelita, Anzalna Nasir tampil memberi reaksi selepas seorang individu secara terbuka menyatakan hasrat untuk menjadi madunya ketika sesi siaran langsung di platform TikTok.
Menerusi perkongsian semula video berkenaan, individu tersebut difahamkan meninggalkan komen dengan menyatakan niat untuk menjadi isteri kedua kepada suami Anzalna, kononnya agar mereka dapat berkongsi resipi bersama.
Teruskan Membaca“Dia kata dalam Islam lelaki boleh kahwin empat dan bila jadi madu, kita boleh kongsi resipi. Macam resipi kau sedap,” ujar Anzalna sambil tertawa kecil.
“Apa masalah dia, nak jadi madu saya semata-mata nak kongsi resipi? Tak payah. Yang awak nak sangat suami saya kenapa?” tambahnya berseloroh.
Pelakon drama Memori Cinta Suraya itu turut mengingatkan tentang tanggungjawab besar seorang isteri dalam menjaga keperluan suami.
“Susahlah, kalau kita terlebih jaga suami, mulalah orang nak suami kita. Tapi kalau tak jaga, orang pula kata kita tak pandai jaga suami,” katanya.
Menurut Anzalna, dilema sering timbul apabila isteri mahu memastikan suami sentiasa kelihatan kemas dan berbau harum.
“Nak je suruh suami pakai wangi-wangi, tapi risau pula nanti perempuan yang lalu sebelah dia terpikat. Jadi serba salah, tapi tetap kena jaga suami kita,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Anzalna mendirikan rumah tangga bersama Hanif Zaki pada tahun 2016. Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Mohamad Eidrees dan Mohamad Emirhan.
















