KUMPULAN M-Pop Dolla, yang terdiri daripada Sabronzo, Tabby dan Angel menyatakan mereka tidak terasa hati apabila tidak dikenali oleh salah seorang ahli kumpulan SMDX pada Isnin.
Kenyataan itu susulan satu video tular yang melibatkan salah seorang ahli SMDX, Elle yang mengatakan beliau tidak mengenali kumpulan yang terkenal dengan lagu berjudul ‘Boss Up’ itu dan beliau menerima tempias yang cukup hebat apabila rata-rata peminat Dolla memberikan kecaman kepada penyanyi tersebut.
Teruskan Membaca“Tidak mengapa, kami pun tidak mengharapkan semua orang di Malaysia mengenali Dolla. Kita pun belum lagi mencapai seluruh rakyat Malaysia.
“Jadi bagi kami, tiada masalah kalau tidak mengenali kami. Kami akan keluarkan lebih banyak lagu dan kandungan kumpulan kami. Kami harap dengan cara begini akan dapat capai lebih pendengar dan peminat.
“Dia pun baru memasuki industri hiburan, saya mengharapkan dia akan lebih belajar dan berjaya di masa hadapan,” ujarnya ketika ditemui selepas sidang media bagi Konsert pertama Dolla Re:Birth The Experience yang dijadualkan 3 Ogos 2024, bertempat di Zepp, Kuala Lumpur.
Mereka turut menyatakan, kesilapan adalah perkara biasa dan mendoakan kejayaan buat kumpulan-kumpulan M-pop negara yang akan datang.
Sebelum ini, penyanyi terkemuka yang berasal dari Sabah, Stacy Anam turut tampil mengulas isu berkenaan dengan menyatakan jika ingin menceburi bidang seni, mulut harus dijaga dan menjadi terkenal bukan perkara utama jika ingin berjaya dalam industri seni.
Baca juga :