Pengasas jenama fesyen tempatan Elrah Exclusive, Mohd Hilmi Che Azman atau lebih dikenali sebagai El Azman, menafikan dakwaan bahawa syarikatnya telah meniru reka bentuk samping milik suami pempengaruh popular Tyra Kamaruzzaman, Emran Rijal.
Sebelum ini, Tyra mendakwa bahawa Elrah Exclusive telah meniru corak samping warisan keluarga suaminya yang dikenali sebagai ‘Keris Sepukal’ dan ‘Beko’.
Teruskan MembacaMenurutnya, reka bentuk itu telah diwarisi sejak tahun 1890-an dan memiliki sijil pengesahan di bawah Akta Hak Cipta 1987.
Tyra juga mendakwa mereka telah menghubungi El Azman bagi mendapatkan penjelasan, namun tidak menerima respons yang memuaskan.
Susulan itu, beliau bersedia membawa kes ini ke mahkamah jika tiada penyelesaian dicapai.
Sebagai respons, El Azman menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa semua reka bentuk produk Elrah Exclusive adalah hasil ciptaan dalaman tanpa meniru mana-mana pihak.
“Motif keris adalah simbol warisan budaya sejak zaman berzaman, jadi ia tidak seharusnya diikat kepada individu semata-mata,” katanya.
Bagaimanapun, susulan penafian tersebut, Tyra Kamaruzzaman menegaskan beliau tetap dengan pendiriannya dan sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap Elrah Exclusive.
“Kita akan pertahankan perkara ini di peringkat perundangan, kami memiliki hak cipta, nak ’twist’ macam mana pun. ’Twistlah’,” katanya.