SEKIRANYA diberi peluang, penyanyi Aliff Aziz ingin menitipkan ucapan terima kasih atas semua pengorbanan yang dicurahkan isterinya, Bella Astillah sepanjang tempoh rumah tangga mereka diuji dengan pelbagai dugaan.
Aliff atau nama lengkapnya Mohammad Aliff Aziz, 33, turut menyifatkan Bella sebagai wanita yang mampu membuatkan dirinya sempurna.
Teruskan Membaca“Sejak semua ini berlaku, saya belum bercakap dengan awak (Bella). Bukan tidak mahu tetapi saya takut.
“Sekarang bila tengok cermin, rasa sangat gagal. Kalau ada perkara terakhir untuk cakap kepada isteri adalah terima kasih sangat-sangat untuk cinta, kasih sayang dan anak-anak yang awak berikan.
“Jujur, tiada siapa yang boleh buat rasa sempurna seperti dia (Bella) buat,” katanya menerusi satu temu bual pada Khamis.
Aliff berkongsi perkara itu menerusi podcast The Common Folks yang dimuat naik di YouTube awal pagi Jumaat.
“Sampai ke tahap ini, saya mungkin akan kehilangan keluarga untuk masa yang panjang atau selama-lamanya.
“Bella juga layak dapat kebahagiaan sendiri. Kebahagiaan yang saya tidak boleh bagi, dia layak bahagia dengan sesiapa pun.
“Saya minta maaf atas semua yang terjadi sepanjang perkahwinan kita, maafkan segala kesilapan saya dan doakan saya,” ujarnya lagi.
Sementara itu, pelakon drama Terjerat ini turut memohon maaf kepada dua anaknya iaitu Ayden dan Ara.
“Kepada Ayden dan Ara, kalau kamu tengok video ini, daddy minta maaf sangat-sangat. Banyak benda yang tak sepatutnya terjadi,” jelasnya sambil berlinangan air mata.
Kemelut rumah tangga Bella dan Aliff bermula selepas Aliff ditangkap khalwat bersama pelakon Ruhainies oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sebuah kondominium mewah, Pavillion Suites pada 9 Mac lalu. — KL Viral
Baca juga: