Minggu ini tular video Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh yang membuat penilaian kos barang keperluan asas.
Hasil daripada video yang tular ini, ramai yang muncul di TikTok membuat ulasan dan meluahkan rasa tidak puas hati atas apa yang dikongsi oleh Fuziah.
Teruskan MembacaKenyataan Fuziah dalam video itu mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan segelintir netizen yang meninggalkan komen berbaur sindiran.
Menerusi rakaman video tular itu, kelihatan Fuziah melakukan tinjauan di sebuah pasar raya bagi memantau harga barang keperluan asas di pasaran dan membeli beberapa barangan untuk membuat penilaian kos.
Antara barangan dibeli ialah beras, biskut, bawang, minyak masak, mi segera, sardin dalam tin, tepung gandum, serbuk minuman, dan kentang dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM136.30.
Fuziah kelihatan berpuas hati kerana dapat membeli beberapa barangan keperluan itu pada harga di bawah RM200.
“Siapa kata RM200 tak boleh, tak cukup, kena RM500? Jangan cakap perkara tak benar. Saya sendiri tengok dan saya sendiri nilai,” kata Fuziah merujuk rakaman dalam video berkenaan.
Menjelaskan perkara sebenar, Fuziah berkata, apa yang tular itu adalah rakaman video ketika beliau berkunjung ke sebuah pasar raya di Langkawi, Kedah pada awal Julai lalu.
“Sebenarnya ia video lama. Ketika itu ada isu yang (yang mengatakan perbelanjaan) RM200 (untuk barangan keperluan asas) tak dapat apa-apa. Jadi pada waktu itu, saya buat tinjauan di sebuah pasar raya dan beli sendiri barangan di situ.
“Harganya lebih sedikit berbanding tempat lain yang menjual barangan Jualan Rahmah, namun masih cukup dan boleh penuh bakul dengan wang di bawah RM200. Kenyataan saya dalam video bagaimanapun merujuk kepada situasi ketika itu,” katanya.
Fuziah berharap, penjelasannya ini dapat memperbetulkan pemahaman segelintir netizen yang mungkin keliru dengan mesej cuba disampaikannya.