PETALING JAYA: Suara solidariti untuk rakyat Palestin kembali bergema apabila puluhan ribu rakyat Malaysia berhimpun dalam Himpunan Solidariti Gaza, bagi menzahirkan sokongan terhadap perjuangan kemanusiaan yang semakin mendesak.
Teruskan MembacaTanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang, rakyat Malaysia bersatu hati, berdiri bersama Gaza, menentang kezaliman yang tidak pernah berhenti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut hadir ke himpunan berkenaan, meluahkan rasa sebak dan bangga melihat lautan manusia yang hadir dengan penuh semangat dan kasih terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Mereka datang bukan sebab disuruh, tapi kerana hati nurani mereka menolak kezaliman dan menuntut keadilan. Inilah wajah sebenar Malaysia bangsa berprinsip, berjiwa besar dan tak sanggup melihat penindasan terus berlaku,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Suasana di lokasi himpunan begitu mengharukan. Sepanduk dan bendera Palestin berkibar megah, disambut dengan laungan takbir dan doa yang bergema di seluruh kawasan. Ia jadi tanda jelas bahawa Malaysia bukan sekadar pemerhati, tapi turut berdiri di barisan hadapan perjuangan menegakkan keadilan buat Gaza.
Anwar menegaskan pendirian Malaysia yang akan terus konsisten memperjuangkan hak rakyat Palestin dan menentang kekejaman rejim Zionis.
“Kita akan terus berdiri teguh bersama masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan. Malaysia akan terus menentang kekejaman rejim Zionis dan mendesak supaya bantuan kemanusiaan segera disalurkan kepada rakyat Gaza,” tegasnya.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya terus memperkukuh hubungan dengan dunia Islam dan komuniti antarabangsa untuk memastikan misi bantuan kemanusiaan dapat diteruskan tanpa halangan.
“Kita mahu lihat keamanan sejati tercapai, dan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat serta bermaruah akhirnya berdiri megah di bumi sendiri,” ujarnya.
Menutup ucapannya, Anwar sekali lagi menegaskan komitmen Malaysia yang tidak akan berdiam diri selagi Gaza terus dizalimi.
“Suara Malaysia akan terus bergema di jalanan, di pentas dunia, dan di hati setiap rakyat. Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka!” katanya penuh semangat.