WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan rancangan untuk mengadakan lawatan ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan dalam masa terdekat langkah yang dilihat sebagai usaha mengukuhkan hubungan AS dengan negara Asia di tengah ketegangan semasa dengan China.
Teruskan MembacaDalam sidang media di White House bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, Trump sempat menyentuh isu hubungan dengan China dan menegaskan beliau mahu kekal berhubung baik dengan Presiden Xi Jinping walaupun tekanan perdagangan antara kedua-dua negara semakin meningkat.
“Kami akan capai perjanjian yang adil. Saya mahu terus bersikap baik terhadap China dan saya sangat menghargai hubungan saya dengan Presiden Xi,” katanya.
Menurut laporan agensi berita Kyodo, Malaysia dan Jepun akan menjadi dua hentian penting sebelum Trump menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan hujung Oktober ini. Ini juga kali pertama beliau mengesahkan secara terbuka rancangan lawatan tersebut.
Sumber kerajaan Jepun memaklumkan, Trump dijangka tiba di Malaysia untuk menghadiri persidangan serantau bersama negara ASEAN dan sekutunya, sebelum berangkat ke Jepun pada 27 Oktober bagi lawatan tiga hari, dan seterusnya ke Korea Selatan.
Lawatan ini akan menjadi yang pertama buat Trump ke Asia sejak beliau memulakan penggal kedua sebagai Presiden AS pada Januari lalu menandakan kesungguhan Washington untuk memperkukuh semula pengaruhnya di rantau Asia Timur dan Asia Tenggara.














