PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) nampaknya dah hilang sabar dengan Muslim Friendly Watch (MFW) yang masih berdegil menggunakan label ‘Muslim Choice’, walaupun dah diberi amaran sebelum ini.
Teruskan MembacaMenurut kementerian, label tersebut boleh mengelirukan pengguna Islam, dan kalau MFW terus enggan patuh arahan, tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Perihal Dagangan termasuk atas kesalahan penyalahgunaan logo halal atau pengiktirafan palsu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, berkata hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa agama negeri yang sah diberi kuasa untuk keluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
“Guna istilah berunsur Islamik untuk tujuan komersial tanpa pengesahan rasmi boleh timbulkan kekeliruan dan dianggap sebagai penyalahgunaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, selepas berbincang dengan Menteri KPDNHEP Datuk Armizan Mohd Ali, pihak kementerian akan bertindak tegas jika MFW terus berdegil.
Dr Naim juga mengarahkan JAKIM supaya keluarkan amaran rasmi kepada MFW agar segera hentikan segala promosi dan penggunaan label ‘Muslim Choice’ dalam apa-apa bentuk bahan pemasaran.
“Hanya JAKIM dan pihak berkuasa yang diiktiraf kerajaan ada kuasa sah keluarkan sijil halal. Jadi tak boleh sewenang-wenangnya guna istilah Islamik untuk tujuan komersial hingga mengelirukan orang ramai,” katanya lagi.
Sebelum ini, JAKIM dah pun jelaskan bahawa label seperti ‘Muslim Choice’ bukanlah pengiktirafan halal yang sah, dan boleh menimbulkan kekeliruan tentang status halal produk atau premis.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, turut menjelaskan hanya JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) diberi kuasa untuk keluarkan SPHM serta membenarkan penggunaan logo Halal Malaysia.
Beliau juga mendedahkan bahawa JAKIM pernah menegur MFW sejak Ogos 2024 supaya berhenti guna label itu, tapi nampaknya organisasi tersebut masih berkeras hingga ke hari ini.
Langkah tegas kerajaan ini dilihat penting untuk lindungi integriti pensijilan halal Malaysia, dan pastikan pengguna Islam tak keliru dengan logo atau label yang tak diiktiraf.
















