Orang ramai di beberapa negeri Pantai Timur dan selatan Semenanjung dinasihatkan supaya lebih berwaspada susulan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Teruskan MembacaMenurut MetMalaysia, fenomena luruan monsun dijangka melanda negara bermula 25 hingga 29 Disember ini, sekali gus membawa hujan berterusan serta angin kencang, khususnya di kawasan timur Semenanjung Malaysia.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, MetMalaysia memaklumkan analisis model cuaca terkini menunjukkan keadaan tersebut berpotensi menyebabkan hujan berpanjangan di beberapa negeri, selain laut bergelora dan angin kuat di perairan Laut China Selatan.
Sehubungan itu, Amaran Hujan Berterusan tahap waspada telah dikeluarkan bagi Kelantan dan Terengganu dari 25 hingga 28 Disember, manakala Pahang dan Johor pula dijangka menerima hujan berterusan bermula 26 hingga 29 Disember.
Pada masa sama, amaran angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan masih berkuat kuasa sehingga 25 Disember ini.
MetMalaysia turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca, terutama mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir atau merancang aktiviti di laut dan kawasan terbuka.
Maklumat terkini cuaca boleh diperoleh menerusi laman web rasmi MetMalaysia, media sosial rasmi jabatan itu serta aplikasi myCuaca.
















