Terkini

Kuala Lumpur bandar raya terpintar di tempat ke-73 dunia

KUALA Lumpur berada di kedudukan ke-73 bagi bandar raya terpintar di dunia daripada 142 bandar raya sedunia, menurut Indeks Bandar Pintar (SCI) 2024 yang baru-baru ini dikeluarkan oleh Institute for Management Development (IMB).

Sebelum ini, Kuala Lumpur berada di kedudukan ke-89 tahun lalu, menunjukkan lonjakan sebantak 16 anak tangga pada tahun ini.

Kuala Lumpur turut merekodkan prestasi yang baik dalam laporan tersebut, antaranya kemudahan pembelian tiket dalam talian dan kebolehcapaian penyenaraian pekerjaan dalam talian untuk memudahkan pencarian kerja.

Struktur kesihatan dan keselamatan di Kuala Lumpur turut diketengahkan sebagai salah satu faktor lonjakan tangga ibu kota Malaysia, menurut laporan tersebut.

Meskipun banyak faktor positif yang melonjakkan kedudukan Kuala Lumpur, laporan tersebut turut menyatakan isu kesesakan lalu lintas, rasuah, pencemaran udara dan rumah mampu milik sangat membimbangkan di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Presiden Smart City Observatory, Bruno Lanvin berkata, sesebuah bandar raya perlu merangka dan mengguna pakai strategi untuk bertahan dengan ujian ketidaktentuan pada masa depan.

Beliau juga berkata, kepercayaan dan tadbir urus yang baik menjadi semakin penting, dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam reka bentuk dan pengurusan bandar dijangka meningkat.

Tempat pertama carta tersebut diungguli oleh Zurich buat lima edisi berturut-turut diikuti Oslo, Canberra, Geneva dan Singapura. — KL Viral

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top