Polis berjaya menumpaskan sebuah makmal haram yang memproses methamphetamine bernilai RM37.89 juta dalam operasi Op Meranti, dengan beberapa serbuan di sekitar Pulau Pinang pada 20 dan 21 Disember lalu.
Teruskan MembacaPengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata tiga lelaki warga asing berusia antara 32 hingga 38 tahun berjaya ditahan. Malangnya, seorang lelaki tempatan dilaporkan maut selepas terjatuh dari tingkat lima ketika cuba lari daripada pihak berkuasa.
Dalam serbuan ini, polis merampas 1,188 kilogram methamphetamine, yang kalau diikutkan mampu menjejaskan lebih 5 juta pengguna. Selain itu, pelbagai peralatan memproses dadah turut ditemui di beberapa lokasi, termasuk sebuah premis perniagaan di Georgetown dan rumah di kawasan kebun durian di Balik Pulau.
Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini aktif sejak Ogos 2025, dengan sasaran dadah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. Kesemua suspek yang ditahan dipercayai berperanan sebagai ahli kimia dan positif methamphetamine dalam ujian saringan awal.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dengan semua suspek direman selama tujuh hari mulai 21 hingga 27 Disember untuk siasatan lanjut,” jelas Hussein.
Selain itu, polis turut menyita harta bernilai RM181,000 termasuk kenderaan pacuan empat roda, ‘forklift’ dan kenderaan semua rupa bumi (ATV) di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Kalau nak ikut kiraan, memang operasi ni memang besar gila, dadah, duit dan harta semua kena rampas.
















