DUA lelaki warga asing ditahan polis selepas didakwa melakukan cubaan jenayah penculikan di sebuah pasar raya di Klang, Selangor pada Isnin.
Menerusi video tular di media sosial sejak Selasa, kedua-dua suspek ditahan di dalam pasar raya tersebut sambil diawasi anggota polis.
Teruskan MembacaKelihatan mereka berdua duduk di atas lantai berhampiran kios kecil dengan kedua-dua belah tangan digari.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, seorang wanita berdepan detik cemas apabila anaknya yang berusia 19 bulan, hampir menjadi mangsa culik kedua-dua suspek.
Vijaya berkata, wanita berkenaan memaklumkan, dia sedang menaiki tangga bergerak di pasar raya itu bersama anaknya serta adik perempuan.
“Wanita berkenaan yang sedang memimpin tangan bayinya tiba-tiba didatangi dua lelaki warga negara asing dari arah belakang yang mana salah seorang lelaki itu bertindak mengangkat anaknya.
“Wanita berkenaan terus menjerit dan menarik semula anaknya manakala dua lelaki berkenaan cuba melarikan diri bagaimanapun berjaya ditangkap orang awam yang berada di pasar raya itu.
“Dua lelaki berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak polis dan kini direman tiga hari bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Polis juga menyeru orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap kawasan sekeliling bagi mengelak kejadian seperti ini berulang.
Sementara itu, rata-rata netizen meluahkan rasa berang terhadap situasi yang berlaku dan menganggap kebanjiran warga asing menjadi punca jenayah berleluasa..
“Warga asing di negara kita dah terlampau ramai. Kadang-kadang kita nak jalan dengan keluarga hari minggu pun rasa dah tak selamat,” luah seorang pengguna di X @slgkrn.
“Warga asing yang bermasalah hantar balik je.. ni duk simpan sampai ke anak cucu.. kalau aku lama dah humban dekat laut tu,” luah seorang pengguna di X @Luqmanhasif7.
“Negara kita dah jadi sarang penjenayah, menakutkan,” kata seorang pengguna di X @Osman09404006. — KL Viral
Baca juga: