Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk melangkah ke tahun baharu 2026 dengan semangat kebersamaan dan tekad yang padu demi masa depan negara.
Teruskan MembacaMenurut Anwar, perpaduan rakyat perlu terus diperkukuhkan supaya kemakmuran negara dapat dinikmati oleh semua, tanpa mengira latar belakang atau perbezaan.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha reformasi tidak boleh terhenti dan perlu diteruskan secara konsisten bagi memastikan Malaysia terus bergerak ke arah yang lebih adil, stabil dan sejahtera.
“Kerajaan MADANI akan terus bekerja dengan amanah, keberanian dan ihsan dalam setiap keputusan serta dasar yang dilaksanakan,” katanya menerusi perutusan sempena sambutan tahun baharu.
Anwar berkata, kerajaan akan memastikan segala usaha dan dasar yang dirangka benar-benar memberi kesan kepada rakyat, selain menjamin masa depan negara yang lebih kukuh dan terjamin.
Dalam masa sama, beliau menyeru rakyat agar terus bergerak seiring, menyatukan langkah dan tekad untuk menjayakan aspirasi Malaysia MADANI yang adil, makmur dan berdaya tahan.
Menurut Anwar, kemakmuran negara mesti bersifat inklusif dan melibatkan semua lapisan masyarakat, selari dengan nilai teras Malaysia MADANI.
Menutup perutusan, Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut menyampaikan doa agar tahun 2026 membawa lebih banyak kebaikan buat Malaysia.
“Saya dan Azizah mendoakan agar negara tercinta ini terus aman, harmoni dan makmur,” katanya.
















