KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan pantas dengan mengaktifkan kemudahan WiFi satelit Starlink di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak arah utara susulan kebakaran sebuah menara telekomunikasi di Kuala Kangsar.
Kejadian yang berlaku petang semalam itu melibatkan menara komunikasi milik Maxis di Kampung Kelebor dan menyebabkan gangguan liputan telefon serta internet di beberapa kawasan sekitar.
Teruskan MembacaMenurut MCMC, gangguan tersebut memberi kesan kepada pengguna CelcomDigi, Maxis dan Unifi Mobile, termasuk penduduk di Kampung Kelebor, Kampung Langkap Ketior, Kampung Rambai 7, Kampung Menora, Kampung Senggang, Kampung Ulu Kenas, Kampung Lempor serta kawasan R&R Sungai Perak di Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS).
Bagi memastikan orang ramai masih boleh berhubung, MCMC segera menyediakan WiFi Starlink di R&R Sungai Perak sebagai langkah sementara sementara kerja-kerja pemulihan dijalankan.
Dalam masa sama, MCMC telah mengarahkan semua syarikat telekomunikasi terlibat supaya bertindak segera memulihkan rangkaian serta menyediakan pelan pemulihan menyeluruh.
Punca kebakaran masih dalam siasatan dan kawasan menara berkenaan kini ditutup bagi membolehkan pihak bomba dan agensi berkaitan menjalankan siasatan lanjut.
MCMC turut menegaskan keperluan penyelenggaraan dan pemeriksaan berkala ke atas semua menara komunikasi bagi mengelakkan kejadian sama berulang serta memastikan keselamatan pengguna.
















