Sorakan padu di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok bertukar jadi detik manis buat Malaysia apabila dua atlet muda negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar dan Wassof Rumijan, berjaya menghadiahkan dua pingat emas dalam acara Muay Thai di Sukan SEA 2025.
Teruskan MembacaMikail atau lebih dikenali sebagai Miki, yang baru berusia 16 tahun, tampil berani dalam kategori lelaki 57kg apabila menewaskan wakil tuan rumah, Suphakon Sirilun. Beraksi di gelanggang ‘keramat’ Muay Thai dunia dengan sokongan padu penyokong Thailand, Miki langsung tidak gentar dan kekal fokus sepanjang perlawanan.
Tidak lama selepas itu, giliran Wassof pula mencuri perhatian apabila menundukkan Thongchai Huanak dalam kategori lelaki 54kg, sekali gus melengkapkan hari gemilang buat kontinjen Malaysia.
Kejayaan dua emas ini jelas membuktikan atlet muda negara mampu bersaing dan menewaskan jaguh Thailand di gelanggang sendiri. Miki, yang juga adik kepada bintang Muay Thai negara Johan Ghazali, mempamerkan ketenangan dan disiplin tinggi sepanjang tiga pusingan perlawanan.
Wassof pula beraksi penuh yakin dan kemas, memperlihatkan tahap kematangan Muay Thai Malaysia yang semakin meningkat walaupun berdepan lawan lebih berpengalaman.
Terdahulu, Malaysia turut meraih pingat emas menerusi Yan Jia Chi (Angie) dalam acara wai kru wanita individu, menjadikan Muay Thai antara sukan paling menyerlah buat negara di Sukan SEA 2025.
Tahniah buat semua wira Muay Thai negara!
















