Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru akhirnya siap sepenuhnya, dan menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia bukan projek biasa-biasa, tapi satu projek yang boleh dijadikan contoh untuk seluruh negara.
Teruskan MembacaDalam majlis pelancarannya, Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang berkenan hadir bagi menyempurnakan pelancaran projek mega itu. Katanya, projek ini bukan sahaja membanggakan Johor, tetapi juga menjadi penanda kemajuan Malaysia pada tahap lebih tinggi.
“Kita boleh jadikan ini model pembangunan yang baik dan hebat untuk negara. Manfaatkan kemudahan ini untuk tambah pertumbuhan ekonomi dan angkat martabat negara,” kata Anwar.
Anwar juga sempat berkongsi perkembangan ekonomi Johor yang kini makin rancak. Nilai pelaburan negeri itu dijangka mencecah RM100 bilion tahun ini, satu angka yang jelas menunjukkan Johor semakin menjadi tumpuan pelabur.
Tak cukup dengan itu, Anwar turut menyebut kejayaan Maharani Freeport yang katanya sudah pun mengatasi prestasi beberapa kawasan pelabuhan terkenal di negara lain termasuk Pulau Pinang dan Selangor.
PM juga mendedahkan tentang pertemuan dua hala bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, di Singapura minggu lalu. Fokusnya? Mengukuhkan Zon Ekonomi Johor–Singapura sebagai pemacu baharu pertumbuhan ekonomi.
“Kita guna hubungan baik dua negara untuk pastikan zon ini jadi pemangkin utama ekonomi Johor dan negara,” jelasnya.
Walaupun banyak bercakap tentang pelaburan dan projek mega, Anwar tetap menegaskan bahawa rakyat biasa, termasuk peniaga kecil di pekan-pekan kecil perlu turut merasa manfaat pembangunan.
Beliau mahu pembangunan stesen kereta api di bandar kecil dipercepatkan supaya ekonomi setempat turut hidup.
Menurut Anwar, pendekatan Ekonomi MADANI yang dibawa kerajaan sekarang lebih seimbang kerana bukan hanya fokus pada angka, tetapi juga pada keprihatinan dan campur tangan kerajaan bila perlu.
Beliau juga memuji kerjasama sektor swasta seperti SIPP-YTL yang banyak membantu menjayakan pembangunan projek besar seperti ini.
Menariknya, Anwar menyatakan bahawa Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kali ini dibuat dengan cara lebih terbuka, kerajaan pusat turun sendiri ke negeri-negeri untuk dengar cadangan dan pandangan dari pimpinan negeri.
Katanya, inilah kali pertama dalam sejarah perkara sebegini dilakukan.
“Ini semua bentuk demokrasi penyertaan… semangat musyawarah,” tambah beliau.
Dengan projek mega ini siap sepenuhnya dan pelbagai kerjasama strategik sedang berjalan, Johor nampaknya semakin berada di landasan tepat untuk jadi antara kuasa ekonomi utama negara. Terus maju Johor!
















