Isu gaji merupakan perkara pokok yang tidak boleh diabaikan lagi. Berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 yang dibentangkan pada minggu lepas, lebih dua juta pekerja Malaysia masih berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.
Situasi ini lebih membimbangkan buat golongan muda antara umur 20 hingga 24 tahun di mana gaji penengah mereka hanyalah RM1,682 sebulan. Bagi kebanyakan pekerja Malaysia, gaji hanya akan meningkat kepada RM3,500 pada paras tertinggi sekitar umur 40-49 tahun sepanjang kerjaya mereka.
Teruskan MembacaMenurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah berbincang mengenai cadangan Dasar Gaji Progresif (progressive wage policy) sebagai satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja supaya gaji pekerja dapat ditingkatkan dengan lebih consistent dan pengagihan gaji lebih seimbang.
“Dasar gaji progresif ini adalah bersifat sukarela (voluntary), berteraskan insentif (incentive-based), dan terkait dengan produktiviti (productivity-linked). Model dasar ini diusulkan setelah MTEN mengambil kira pandangan dan kepentingan pihak majikan dan pekerja,” kata Anwar.
Sambung Anwar lagi, dasar ini, yang merupakan pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum, akan disusuli dengan garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan, dan peringkat.
“Sesi libat urus dan tinjauan awal telah menunjukkan sebanyak 62% pekerja dan 80% syarikat menyambut baik cadangan Dasar Gaji Progresif dengan ciri-ciri yang dinyatakan, dan MTEN berharap dasar ini akan menerima sambutan dan penyertaan sebanyak syarikat dan pekerja yang mungkin.
“Langkah selanjutnya adalah sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan, terutamanya para pemain industri, perniagaan dan pekerja. Perkara ini akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperhalusi mechanism pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka keperluan untuk memperuntukkan dana sebagai insentif dasar ini yang akan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan Kerajaan dan keperluan dasar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Perdana Menteri, MTEN berpandangan bahawa Dasar Gaji Progresif merupakan salah satu reformasi pasaran pekerja untuk memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan dengan kos sara hidup dan dapat menikmati pekerjaan dengan gaji yang bermaruah, demi kesejahteraan rakyat dan mencapai agenda mengangkat ekonomi negara.