Jaguh angkat berat, Muhammad Erry Hidayat, 24, dan gimnas, Ng Joe Ee, 18, terharu dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Wilayah Persekutuan pada Majlis Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan 2021/2022 yang diadakan di Auditourium Cempaka Sari, Putrajaya pada Selasa.
Kedua-dua atlet tersebut menerima piala pusingan, wang tunai berjumlah RM8,000 dan tajaan barangan sukan daripada FELET bernilai RM1,000 yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Teruskan MembacaErry mengetepikan saingan sengit daripada atlet renang, Steve Khiew dan juga S. Prem Kumar (karate). Dia berjaya melakar kejayaan dengan merangkul pingat perak pada Kejohanan Angkat Berat Asia 2021 dan Sukan Komanwel 2022 Birmingham selain pingat gangsa pada Sukan SEA 2022 Vietnam.
Dalam masa yang sama, dia turut memperbaharui rekod kebangsaan dengan jumlah angkatan 310 kilogram (kg) bagi kategori 73kg.
“Alhamdulillah saya sangat terharu. Anugerah ini menjadi suntikan semangat buat saya selain mempersiapkan mental dan fizikal bagi memenangi lebih banyak kejohanan di peringkat dunia.
“Saya bersyukur kerana Wilayah Persekutuan sentiasa memberi penghargaan kepada atlet yang berjaya dan semestinya ini memberi motivasi kepada kami para atlet untuk terus berjuang,” ujar atlet angkat berat pertama merangkul gelaran Olahragawan Wilayah Persekutuan sejak ia mula dianjurkan pada tahun 2007.
Bakal menyertai Kejohanan Angkat Berat Dunia di Thailand serta Sukan Komanwel Fiji pada April dan September tahun hadapan, dia turut menyasarkan ranking ke-14 dunia berbanding ranking ke-16 yang dipegangnya kini.
Sementara itu, Ng Joe Ee mengakui ia merupakan satu kejutan buat dirinya kerana ramai lagi atlet yang cemerlang namun dia terharu kerana berjaya menjadi salah seorang daripada mereka.
“Anugerah ini mendorong saya untuk bekerja dengan lebih keras buat negara tercinta. Kami (atlet) mahu membanggakan Malaysia dengan lebih banyak kejayaan,” ujarnya yang dinobatkan sebagai Olahragawati Wilayah Persekutuan mengatasi dua penerjun, Nur Dhabitah Sabri dan juga Wendy Ng Yan Yee.
Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu mempamerkan aksi cemerlang sepanjang 2022 apabila merangkul dua pingat emas dalam disiplin bola dan riben pada Sukan Komanwel di Birmingham dan juga memenangi gelaran Olahragawati Kebangsaan 2022.