Terkini

40 mualaf sertai Kelas Intensif Fardu Ain anjuran JAWI

SERAMAI 40 orang mualaf telah menyertai Kelas Intensif Fardu Ain (KIFA) yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada hari Sabtu di Masjid Al-Akram, Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Program yang dilaksanakan tertumpu kepada sesi amali dan praktikal yang difokuskan kepada ibadah wuduk dan solat yang dikendalikan oleh para fasilitator yang terdiri dari imam dan guru-guru mualaf dari Kompleks Darul Hidayah (KDH).

Menerusi hantaran di laman Facebook milik JAWI, komitmen dan fokus yang jitu turut terpancar pada wajah para peserta menunjukkan kesan dan semangat mereka dalam mendalami dan memahami aspek ibadah asas dalam Islam.

Selain sesi amali dan praktikal, KIFA turut diserikan dengan perkongsian slot ceramah oleh Ahli Jawatankuasa Belia Jawatankuasa Hal Ehwal Mualaf Wilayah Persekutuan, Nur Ain Sumaiyah dan pendakwah bebas, Aryf Zaki Mohd Ali.

Ceramah tersebut diadakan untuk menjalankan sesi komunikasi secara dua hala antara penceramah dan peserta melalui sesi soal jawab perihal agama.

Program tersebut merupakan anjuran JAWI melalui Bahagian Pengurusan Jabatan Agama Islam bersama Masjid Al-Akram bersama KDH. — KL Viral

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top