Semua wanita berisiko mendapat kanser ginekologi. Di Malaysia khususnya, kanser serviks menduduki tempat keempat kanser paling biasa dalam kalangan wanita.
Kanser ginekologi adalah kanser yang membabitkan organ pembiakan wanita, iaitu bermula di tempat yang berlainan di pelvis wanita.
Teruskan MembacaDianggarkan kira-kira 1,740 wanita didiagnosis dengan kanser serviks setiap tahun dan 991 daripada kes itu meninggal dunia.
Berdasarkan bilangan kes baharu pada 2020 kanser ovari mencatat 7.2 peratus manakala kanser rahim 5.5 peratus daripada jumlah kes kanser yang dilaporkan.
Namun, kanser tiub fallopio, faraj dan vulva sangat jarang berlaku.
Kadangkala, kanser boleh timbul daripada plasenta dan dipanggil gestational trophoblastic neoplasia.
Punca kanser ginekologi
Kanser serviks biasanya disebabkan jangkitan virus papilloma manusia (HPV) berisiko tinggi disebarkan melalui hubungan seksual.
Kira-kira 80 peratus wanita aktif secara seksual berisiko mendapat jangkitan HPV.
Hubungan seks pada usia awal, hamil sebelum usia 17 tahun, pil perancang oral, merokok, tidak pernah menjalani ujian saringan serviks, Human Immunodeficiency Virus (HIV) atau jangkitan kelamin dan mengambil ubat imunosupresif meningkatkan lagi peluang mereka dijangkiti virus itu.
Kanser vulva dan faraj juga dikaitkan dengan jangkitan HPV.
Selain itu, wanita yang mendapat haid awal dan menopaus lewat (selepas umur 55 tahun), tidak mempunyai anak, obes atau berat badan berlebihan, mengambil makanan berlemak dan mempunyai sejarah keluarga kanser juga lebih berisiko mendapat kanser ovari dan endometrium.
Rawatan kesuburan yang berpanjangan turut meningkatkan risiko kanser ovari.
Kanser tiub fallopio dikaitkan dengan jangkitan atau keradangan tiub. Ubat-ubatan tertentu yang ditetapkan untuk rawatan kanser payudara dan terapi hormon untuk menopaus boleh meningkatkan
kemungkinan kanser endometrium.
Pemeriksaan dan diagnosis
Ujian saringan dapat mengesan kemungkinan seseorang itu menghidap kanser serviks.
Walaupun program saringan kanser serviks kebangsaan diamalkan sejak 1969 melalui penyediaan pap smear konvensional, liputan dan pengambilan saringan masih rendah (25 peratus pada 2015 hingga 2020), menyebabkan lebih daripada 75 peratus wanita mengalami diagnosis tahap akhir.
Beberapa faktor seperti kurangnya kesedaran, pengalaman negatif semasa prosedur perubatan, kepercayaan yang menghalang, kekangan sumber dan masa, dan kekurangan sokongan sosioekonomi menjadi halangan terhadap pengambilan saringan.
Justeru, bagi mengatasi halangan dan meningkatkan pengambilan saringan, Yayasan Rose memperkenalkan kit ujian swab kendiri yang tidak menyakitkan dan berkesan bagi mengenal pasti kemungkinan berisiko dijangkiti HPV.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan ujian HPV sebagai kaedah saringan pilihan berbanding pap smear dari umur 30 tahun, untuk tempoh selang antara lima hingga 10 tahun.
Bagi wanita dijangkiti HIV, ujian HPV disyorkan dari umur 25 tahun dengan tempoh saringan lebih pendek, setiap tiga hingga lima tahun.
Pelancaran ujian HPV dimulakan di Malaysia, pada 2019 dengan ujian saringan meliputi wanita berusia 30 hingga 65 tahun.
Sesetengah kanser ginekologi seperti kanser ovari dan endometrium tidak mempunyai ujian saringan.
Bagaimanapun, pemeriksaan ginekologi tahunan, imbasan ultrasound pelvis, ujian darah untuk penanda tumor dan sampel tisu (biopsi) daripada serviks, lapisan dalam rahim, faraj atau vulva boleh membantu dalam diagnosis awal.
Ujian lanjut seperti pemeriksaan imbasan (CT), pengimejan resonans magnetik (MRI) atau PET mungkin diperlukan untuk menilai penyebaran kanser.
Antara gejala kanser ginekologi adalah berlaku pendarahan selepas menopaus, haid berpanjangan atau berat, haid tidak teratur, atau pendarahan selepas persetubuhan, kembung perut dan penurunan berat badan.
Rawatan kanser ginekologi
Rawatan bergantung kepada umur, keinginan kesuburan, jenis dan penyebaran kanser (peringkat) serta status kesihatan umum pesakit.
Dalam kebanyakan kes, pembedahan membuang rahim dengan serviks, tiub dan ovari sebagai langkah pertama rawatan.
Kaedah rawatan lain adalah menerusi radioterapi, kemoterapi, terapi hormon, terapi sasaran dan imunoterapi di mana radiasi, ubat antikanser, hormon, ubat-ubatan yang disasarkan dan penambah imun digunakan untuk membunuh sel-sel kanser.
Bagi wanita yang menghidap kanser lanjutan di mana tiada peluang untuk sembuh, rawatan yang sesuai dan penjagaan paliatif masih boleh membantu dalam meningkatkan kualiti hidup.
Langkah pencegahan
Kanser serviks boleh dicegah, iaitu dengan pemvaksinan HPV dan penggunaan kondom bagi mengekang jangkitan virus.
Sebaik-baiknya vaksin HPV diberikan kepada kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki sebelum mereka aktif secara seksual supaya vaksin menjadi paling berkesan.
Pada 2010, program vaksinasi HPV diperkenalkan di Malaysia untuk menyediakan imunisasi HPV percuma kepada semua kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun.
Pada 2012, program ini diperluaskan untuk menyasarkan kanak-kanak perempuan berumur 18 tahun.
Walaupun vaksinasi HPV, saringan serviks tetap masih diperlukan dalam pengesanan awal jangkitan HPV berisiko tinggi dan perubahan prakanser dan permulaan strategi intervensi berkesan untuk mencegah perkembangan kanser.
Sejajar dengan strategi global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mahu menghapuskan kanser serviks menjelang 2030, maka 90 peratus kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun perlu divaksin sepenuhnya dengan vaksin HPV, manakala 70 peratus wanita akan disaring dengan ujian berprestasi tinggi dan 90 peratus wanita dikenal pasti dengan penyakit serviks untuk menerima rawatan yang sewajarnya.
Sebagai langkah melindungi wanita daripada kanser ginekologi ini, wanita perlu mengamalkan gaya hidup sihat, mengekalkan berat badan ideal, diet seimbang, makan sayur-sayuran dan buah-buahan serta aktiviti fizikal.
Yang penting, tingkatkan pengetahuan mengenai kanser ginekologi dengan melakukan pemeriksaan, pencegahan serta rawatan bagi memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup mereka. – Berita Harian
Baca juga: