SEBANYAK 90 batang pokok telah diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi dan disyorkan untuk ditebang sejak dikenal pasti pada 24 Mei lalu.
Ia susulan insiden pokok tumbang yang berlaku di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Mei lalu yang meragut nyawa seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun manakala dua lagi mangsa cedera dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Teruskan MembacaMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menyatakan proses penebangan sedang giat dijalankan dan dijangkan akan selesai pada Julai 2024.
“Dalam masa yang sama, sebanyak 240 batang pokok di sekitar Kuala Lumpur sedang dalam proses penilaian tahap risiko dan dijangka selesai seawal Ogos 2024,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Zaliha turut mengumumkan jawatankuasa Task Force pengurusan pokok berisiko di Kuala Lumpur telah dibangunkan untuk mewujudkan sebuah kolaborasi dalam penyelidikan, pengetahuan, teknologi dan kepakaran dalam bidang pengurusan pokok teduhan di Kuala Lumpur.
Zaliha menyatakan mesyuarat jawatankuasa itu pada Selasa telah melibatkan beberapa kluster keanggotaan termasuk kluster akademik, kluster badan profesional dan wakil agensi kerajaan.
Mesyuarat berkenaan dihadiri oleh Universiti Putra Malaysia, yang dianggotai oleh wakil dari Persatuan Arboris Malaysia dan Persatuan Arkitek Landskap Malaysia.
“Selain itu, antara wakil agensi kerajaan yang diwakili oleh Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Landskap Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Malaysia.
“Keanggotaan task force ini turut akan diperluaskan kepada NGO berkaitan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.
Tambahan itu, task force tersebut akan meneroka potensi untuk menubuhkan satu tabung dana amanah kawasan hijau untuk menggalakkan perkongsian awam-swasta melalui pendekatan whole-of-nation.
Ia bagi meningkatkan kompetensi landskap hijau di samping mengekalkan peratusan kawasan hijau di Kuala Lumpur sebagaimana disasarkan oleh Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040. — KL Viral
Baca juga: