Terkini

89 anggota tamat latihan kursus asas penguatkuasa DBKL

SERAMAI 89 orang penguatkuasa menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Skuad 27 Tahun 2024 pada Selasa di Padang Kawad Menara Penguatkuasa, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Pegawai tersebut terdiri daripada dua orang Penolong Penguat Kuasa Gred KP29 dan 66 orang Pembantu Penguat Kuasa Gred KP19 serta melibatkan 7 orang anggota penguatkuasa dari Pasukan Unit Berkuda.

Selain itu, terdapat 16 orang anggota penguatkuasa dari Pasukan Pancaragam dan 18 orang anggota penguatkuasa Pasukan Skuad Penyelamat turut serta dalam menamatkan latihan bagi Kursus Asas Kemahiran Pasukan.

Majlis penyampaian anugerah kepada pelatih turut diadakan dalam upacara perbarisan tersebut melibatkan beberapa kategori terbaik.

Hadirin dan tetamu jemputan turut dipersembahkan dengan persembahan formasi dari pasukan pancaragam, persembahan taktikal dari pasukan skuad penyelamat dan persembahan formasi kawad senyap dari pelatih kursus asas penguatkuasa Skuad 27.

Untuk info, latihan kursus berkenaan telah bermula pada 15 Januari sehingga 21 Mei 2024 secara berperingkat mengikut fasa.

Fasa tersebut terdiri daripada bidang latihan fizikal termasuk jasmani dan seni mempertahankan diri, teori kawad, kelas perundangan dan on job traning (OJT) tugasan penguatkuasaan di lapangan.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh.

Beliau menzahirkan harapan agar kesemua pelatih yang telah menamatkan latihan akan berkhidmat dengan penuh tanggungjawab, amanah, berintegriti dan berhemah dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan kelak. — KL Viral

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top