Terkini

DBKL taja caruman SKSPS 756 penjaja di Kuala Lumpur

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menaja 10 peratus caruman dibawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada 756 penjaja di sekitar Kuala Lumpur.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh DBKL, kesemua penjaja yang terpilih merupakan penjaja yang terlibat dengan program Lestari Niaga.

“Dianggarkan seramai 2,095 orang terlibat dalam program tersebut dan DBKL telah memilih 756 penjaja yang menepati kriteria yang ditetapkan.

“Antara kriteria yang ditetapkan termasuk penjaja yang mempunyai lesen aktif, tiada tunggakan sewa dan tunggakan kompaun DBKL serta tiada perlindungan aktif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” kata kenyataan tersebut.

Selain penjaja, 434 suri rumah dalam kategori B40 turut menerima tajaan perlindungan oleh pihak Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Dalam pada itu, penyerahan Tajaan Caruman SKSPS dan SKSSR tersebut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong bertempat di Pasar dan Pusat Penjaja Jalan Wirawati, Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim; Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal; Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh.

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top