PETALING JAYA: Malaysia menyuarakan bantahan keras terhadap rancangan rejim Zionis Israel yang mahu menguasai Gaza sepenuhnya, tindakan yang dianggap melanggar undang-undang antarabangsa dan mencabuli hak asasi manusia.
Teruskan MembacaDalam kenyataan tegas hari ini, Kementerian Luar berkata tindakan itu bukan saja tidak berperikemanusiaan, malah dirancang dengan jelas untuk menduduki wilayah Palestin secara kekal.
“Selepas lebih 22 bulan Gaza dibom tanpa henti, sekatan yang menyesakkan hidup, dan pengusiran paksa terhadap lebih 90% penduduk, langkah ini jelas bertujuan menamatkan terus penyelesaian dua negara,” kata kenyataan itu.
Malaysia turut memberi amaran bahawa langkah sewenang-wenang Israel ini akan menghancurkan proses damai dan sekali lagi menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri.
Negara ini juga mengajak masyarakat antarabangsa untuk bersatu menolak dasar aparteid Israel dan mengambil tindakan jelas bagi memastikan penyelesaian yang adil serta berkekalan.
Antara tuntutan Malaysia termasuk:
- Mengiktiraf negara Palestin mengikut sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
- Menggesa gencatan senjata kekal dan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza.
- Menamatkan sekatan bantuan kemanusiaan serta membenarkan akses bantuan tanpa halangan.
“Malaysia juga mahu Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menjamin hak dan maruah rakyatnya,” tambah kenyataan itu.
















