Terkini

Peruntukan RM40 juta bukti keprihatinan Kerajaan Perpaduan kepada anggota ESSCom

Peruntukan RM40 juta bagi meningkatkan infrastruktur dan fasiliti terutama kuarters petugas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di Lahad Datu membuktikan kesungguhan Kerajaan Perpaduan dalam menjamin kebajikan anggota agensi berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan itu juga mencerminkan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjaga kebajikan anggota ESSCom yang sedia berkorban demi menjaga keselamatan Sabah serta negara.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan dan semoga inisiatif ini akan menambahkan semangat petugas ESSCom untuk memberi terbaik dalam mempertahan kedaulatan negara,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) dalam kenyataan kepada Bernama baru-baru ini.

Pada 15 Julai lalu, Anwar ketika berucap pada Program Malaysia Madani Perdana Menteri bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Polis Diraja Malaysia di Batalion 2 Pasukan Gerakan Am di Kulim, Kedah mengumumkan peruntukan RM40 juta untuk infrastruktur dan fasiliti berkaitan ESSCom.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCom, Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata, peruntukan itu akan digunakan bagi menyediakan kemudahan perumahan terbaik sekali gus memberi manfaat besar kepada pegawai dan anggota agensi tersebut.

Beliau berkata peruntukan itu juga membolehkan ESSCom membuat pembelian kediaman bagi memberikan kemudahan kepada anggotanya yang bertugas di Lahad Datu.

“Ia bagi kemudahan kepada pegawai, anggota dan kakitangan yang bertugas di ESSCom dan proses untuk mendapatkan kemudahan (kediaman) itu sedang berjalan,” katanya.

Komandar ESSCom, DCP Victor Sanjos turut menzahirkan ucapan terima kasih terhadap keprihatinan Kerajaan Perpaduan terhadap anggota yang bertugas di ESSCom sekali gus menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang menjaga kedaulatan negara khususnya di Sabah.

“Bagi pihak ESSCom dan sebagai Komandar ESSCom serta CEO, saya menzahirkan terima kasih atas keprihatinan dan budi baik Kerajaan Perpaduan terhadap anggota ESSCom dengan pemberian peruntukan ini,” katanya.

Pelbagai

Scroll to Top