ORANG awam menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) pantau pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan sesuka hati di sekitar Bukit Bintang semata-mata untuk menyaksikan persembahan ‘busking’.
Hal ini kerana kehadiran pengunjung yang hadir menyaksikan persembahan busking oleh artis jalanan pada waktu malam itu telah mengganggu aliran trafik di kawasan itu sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Teruskan MembacaMenerusi satu hantaran di X, difahamkan keadaan jalan raya di sekitar Bukit Bintang semakin sesak terutama sekali selepas waktu pejabat susulan ramai yang meletakkan motosikal di bahu jalan sehingga mengganggu pengguna lain.
“DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) patut haramkan busking di tempat awam. Dahlah Bukit Bintang ini sesak, lepas itu ada pula yang jenis parking tepi jalan sesuka hati,” kata seorang pengguna X.
“Yang buat jem motosikal letak tepi jalan, tiba-tiba buskers pula terpalit,” kata Zul.
“Busking itu menarik, pelancong pun suka tengok. Polis atau pihak DBKL kena lebih tegas pantau yang letak motosikal tepi jalan ini sebab sebelum ini okey saja,” kata Suzi.
“Saya cadangkan DBKL buat satu kawasan tak jauh dari MRT Bukit Bintang dan Pavilion. Dekat situ boleh busking, jual-jual. Keluarga pula boleh bersantai makan shawarma sambil tengok persembahan,” cadang Opinion.
“Sepatutnya DBKL haramkan kenderaan masuk Bukit Bintang malam-malam terutama malam minggu,” kata Lita.
Sementara itu, cadangan dan ciapan itu mendapat respon yang pantas daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa pada hari yang sama.
“InsyaALLAH, inisiatif car free city ini dalam usaha pelaksanaan. Projek rintis akan segera menyusul,”katanya menerusi laman X miliknya.
Dalam pada itu, isu ‘busking’ ini bukanlah perkara yang baharu diketengahkan pada muktahir ini tetapi kebanyakan daripada mereka tiada tempat khusus untuk menjalankan aktiviti tersebut. – KL Viral
Baca juga: