Persembahan penyanyi bersuara lunak, Amir Masdi ketika Konsert Countdown Kita 2026 nyata menjadi antara momen paling diingati apabila dia tampil menyanyi di atas pentas setinggi hampir dua tingkat, tepat pada detik peralihan tahun baharu.
Teruskan MembacaAksi berani itu bukan sahaja mencuri perhatian penonton di lokasi, malah turut tular di media sosial dengan ramai menyifatkannya sebagai salah satu persembahan paling ‘padu’ dan luar biasa untuk acara ambang tahun baharu kali ini.
Menurut Amir, peluang membuat persembahan di ketinggian tersebut merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan, apatah lagi apabila dia diberi tanggungjawab menyanyikan lagu ikonik The Final Countdown tepat jam 12 tengah malam.
Walaupun kelihatan tenang di atas pentas, Amir mengakui perasaan sebenarnya bercampur-baur antara gementar dan teruja, terutama apabila melihat lautan manusia di bawah serta suasana malam yang diserikan dengan cahaya dan bunga api.
“Semasa latihan, semuanya rasa biasa. Tapi bila tiba hari sebenar, berdiri di atas pentas tinggi dengan orang ramai di bawah, perasaan itu memang lain macam,” katanya.
Tambah Amir lagi, detik tersebut menjadi antara pencapaian peribadi dalam kerjaya seninya dan dia bersyukur diberi kepercayaan untuk menjayakan momen penting sambutan tahun baharu negara.
Konsert Countdown Kita 2026 turut menampilkan barisan artis popular lain seperti Faizal Tahir, Ella, Hael Husaini, Aisha Retno, Wanie Kayrie, Audra, Rayme dan kumpulan Alpha, sekali gus menjadikan acara tersebut antara sambutan tahun baharu paling meriah tahun ini.
Rata-rata netizen yang menyaksikan persembahan Amir memuji keberaniannya serta vokal mantap yang kekal stabil walaupun berada di pentas tinggi, malah ada yang menyifatkan persembahan itu sebagai ‘ikonik’ dan layak dikenang.
Jelas sekali, malam countdown 2026 bukan sekadar sambutan tahun baharu, tetapi turut mencipta momen istimewa buat Amir Masdi dan para peminat yang menyaksikannya secara langsung.
















