Rakyat Malaysia yang berada di New York sekarang ni diminta untuk lebih berhati-hati dan kurangkan keluar rumah selepas Gabenor Kathy Hochul mengisytiharkan keadaan darurat akibat ribut salji teruk yang melanda negeri itu.
Teruskan MembacaKonsulat Jeneral Malaysia di New York dalam satu kenyataan rasmi memaklumkan, cuaca semakin buruk sejak lewat malam Sabtu dan dijangka berterusan sehingga Isnin. Semua urusan kaunter di konsulat akan digantung sementara pada Isnin, dan janji temu konsular yang dijadualkan terpaksa ditangguhkan ke tarikh baharu.
Orang ramai dinasihatkan elak perjalanan yang tidak penting, jangan sesekali berada di jalan raya supaya kenderaan kecemasan boleh bergerak dengan lancar, dan sentiasa ikut arahan pihak berkuasa tempatan. Ini semua untuk keselamatan komuniti Malaysia di kawasan yang terjejas.
Bagi mereka yang perlukan bantuan konsular, boleh hubungi Konsulat Jeneral Malaysia di New York di talian +1 (212) 490 2723 atau +1 (929) 685 2855, atau e-mel ke [email protected].
Ribut salji kali ini dikatakan menjejaskan jutaan penduduk Amerika Syarikat, dengan kawasan terjejas merentasi lebih 3,000 kilometer, menurut laporan The Washington Post.
















