Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama dua isterinya pada malam Rabu bagi membantu siasatan berkaitan satu tender perolehan ketenteraan.
Teruskan MembacaMenurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketiga-tiga individu berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Putrajaya hari ini untuk permohonan reman.
Beliau memaklumkan, SPRM dijangka memohon perintah reman terhadap bekas panglima tersebut, manakala dua isterinya telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut.
Difahamkan, siasatan kini memfokuskan kepada aliran wang yang disyaki dimasukkan ke dalam beberapa akaun berkaitan pegawai terbabit.
Terdahulu, Muhammad Hafizuddeain dilaporkan hadir sendiri ke ibu pejabat SPRM sekitar jam 3 petang bagi memberi keterangan sebelum ditahan pada sebelah petang.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa Muhammad Hafizuddeain telah diarahkan bercuti sementara bagi memberi laluan kepada siasatan pihak berkuasa.
Susulan perkembangan itu, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Azhan Md Othman telah dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Untuk rekod, pada 23 Disember lalu, SPRM turut hadir ke Kementerian Pertahanan bagi menjalankan siasatan terhadap beberapa projek melibatkan proses tender terbuka serta perolehan Tentera Darat.
Dalam masa sama, SPRM sebelum ini turut menahan reman 17 pengarah syarikat yang dipercayai terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat.
















