MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan lebih RM1.6 juta untuk membawa pulang 10,000 mahasiswa dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) di sekitar Lembah Klang, ke kampung halaman masing-masing sempena cuti Aidilfitri nanti.
Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, berkata menerusi program Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa, pihaknya bekerjasama dengan lapan universiti iaitu Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP yang melibatkan 2,040 pelajar, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) (1,560), Universiti Malaya (UM) (1,800), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) (1,140).
Teruskan MembacaSelain itu, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masing-masing 1,120 pelajar, Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) (794) dan Kolej Islam Antarabangsa (KIA) (426).
“Sumbangan ini merangkumi bantuan tiket bas, bantuan tiket kapal terbang dan wang saku bernilai RM100 seorang dengan melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM1.628 juta,” katanya.
Beliau berkata perjalanan pertama ini sahaja, sebanyak 25 bas yang membawa 880 pelajar telah menuju ke Melaka, Johor, Perak, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang dan Kelantan selain 600 pelajar diterbangkan ke Sabah dan Sarawak, Rabu lalu.
Dalam masa sama, Syed Kamarulzaman turut mendoakan semoga perjalanan pelajar pulang ke kampung berjalan lancar dan semua penuntut selamat sampai ke destinasi masing-masing.
“Gunalah peluang cuti raya ini dengan penuh manfaat, bergembira bersama keluarga. Hari Raya adalah masa untuk mengerat hubungan keluarga dan silaturahim. Ingatlah untuk sentiasa bersyukur atas nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT,” katanya.
Sementara itu, Syed Kamarulzaman berkata pihaknya turut meneruskan inisiatif ‘Gerobok Rezeki’ di sekitar Lembah Klang pada tahun ini dengan kerjasama Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia yang bertujuan membantu masyarakat terutamanya yang terjejas untuk mendapatkan barangan keperluan harian secara percuma.
Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan sejak 2019 itu, adalah untuk memberi sumbangan berbentuk makanan asas serta peralatan belajar dan barangan kebersihan diri bagi tempoh setahun kepada 10 universiti dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM3 juta.
Antara universiti terlibat adalah UM, UPNM, UPTM, UKMKL, KIA, UTMKL, Politeknik Kuala Lumpur, Universiti Sains Islam Malaysia Kuala Lumpur, Kolej Queens Kuala Lumpur dan Universiti Kuala Lumpur.
“Saya mengucapkan berterima kasih kepada semua IPT yang terlibat dalam program Gerobok Rezeki. Ini membuktikan pihak universiti sentiasa peka dengan permasalahan dan keperluan pelajar-pelajar. Saya berharap tidak ada pelajar mengikat perut atau terpaksa menahan lapar akibat kekangan kewangan,” katanya.
Baca juga: