PETALING JAYA: Malaysia merekodkan 503 kes baharu batuk kering atau Tuberkulosis (TB) bagi Minggu Epidemiologi kelima, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini mencecah 2,571 kes di seluruh negara.
Teruskan MembacaMenurut kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Sabah mencatatkan jumlah kes paling tinggi dengan 614 kes. Selangor pula merekodkan 476 kes, diikuti Sarawak (257), Johor (233) serta Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 202 kes.
Negeri lain yang turut merekodkan angka agak tinggi termasuk Pulau Pinang (148), Kedah (144) dan Perak (127).
Bagi negeri yang mencatatkan kurang daripada 100 kes pula ialah Kelantan (96), Pahang (81), Terengganu (60), Negeri Sembilan (58), Melaka (42), Perlis (17) dan Labuan (16).
Dalam pada itu, KKM mengingatkan orang ramai supaya jangan ambil mudah isu ini, lebih-lebih lagi menjelang musim cuti dan perayaan yang biasanya menyaksikan ramai orang berkumpul dan bergerak ke sana sini.
Antara langkah mudah yang disarankan termasuk amalkan etika batuk dan bersin dengan betul, pakai pelitup muka di kawasan sesak serta segera buat pemeriksaan jika mengalami simptom seperti batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan atau berat badan semakin susut.
KKM turut menegaskan bahawa pencegahan bermula dengan diri sendiri. Penilaian risiko kendiri dan sikap bertanggungjawab sangat penting bagi melindungi keluarga serta komuniti daripada penularan penyakit berjangkit seperti TB.















