Berita baik buat pengguna lebuh raya! Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol sempena sambutan Tahun Baharu Cina bagi membantu meringankan kos perjalanan orang ramai yang ingin pulang ke kampung atau bercuti bersama keluarga.
Teruskan MembacaJurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif ini diharap dapat memudahkan perancangan perjalanan rakyat selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya sepanjang musim perayaan.
Menurutnya, diskaun tol yang diberikan bukan sekadar menjimatkan perbelanjaan, malah memberi lebih fleksibiliti kepada pengguna untuk memilih waktu perjalanan yang sesuai dan lebih selesa.
“Langkah ini membolehkan rakyat merancang perjalanan dengan lebih baik sepanjang tempoh perayaan,” katanya ketika sidang media mingguan, Jumaat.
Bagaimanapun, butiran lanjut termasuk kadar diskaun, tempoh pelaksanaan serta kategori kenderaan yang terlibat akan diumumkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Fahmi menegaskan aspek keselamatan pengguna jalan raya tetap menjadi keutamaan kerajaan, termasuk memastikan kesejahteraan rakyat dan pelawat asing sepanjang musim perayaan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya mematuhi peraturan jalan raya, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan serta risiko kemalangan.














