Axiata Arena bertukar menjadi lautan emosi apabila Konsert Inteam 2026: Nur Kasih berlangsung dengan penuh penghayatan, bukan sekadar hiburan, tetapi sarat mesej dakwah dan solidariti buat rakyat Gaza.
Teruskan MembacaKonsert ini diadakan sempena ulang tahun ke-25 kumpulan nasyid legenda negara, Inteam, yang terus kekal relevan sejak dua dekad lalu. Dianggotai oleh Syahril, Hisyam, Rahim dan Hazamin, Inteam membuktikan bahawa nasyid masih punya tempat istimewa di hati rakyat Malaysia.
Tepat jam 9 malam, suasana arena diselubungi rasa tenang apabila konsert dimulakan dengan alunan selawat dan tasbih oleh barisan penyanyi cilik dan anak-anak muda, sebelum kemunculan Inteam di pentas utama disambut sorakan ribuan peminat.
Lebih tiga jam, penonton daripada pelbagai peringkat usia larut dalam alunan nasyid dan selawat. Lagu pembukaan Dia Muhammad terus membuatkan ramai yang tersentuh, diikuti Kasih Kekasih yang mengangkat nilai kasih sayang dan kemanusiaan.
Sepanjang malam, lebih 26 buah lagu dipersembahkan termasuk lagu-lagu malar segar seperti Siti Khadijah, Rabiatul Adawiyah serta medley Kasihku Abadi, Ratu Syahadah dan Satukan Kami Di Syurga yang dinyanyikan bersama penonton.
Paling mencuri perhatian, Inteam berjaya ‘hidupkan’ suasana dengan lagu rancak seperti Ya Rabbi Rabb dan Tiada Tarikh Tamat, lengkap dengan elemen rap yang membuatkan ramai teruja. Jelas, nasyid bukan lagi genre yang ketinggalan zaman.
Detik paling menyentuh perasaan hadir apabila Puteri Sumud, Zizi Kirana, tampil menyampaikan lagu Wahsini. Suasana bertambah sebak apabila mesej solidariti buat Gaza dizahirkan menerusi lagu Perang Dah Tamat.
Sorakan gemuruh bergema apabila legenda nasyid tanah air, Ustaz Nazrey Johani, muncul di pentas berkolaborasi bersama Inteam menerusi lagu Kehidupan dan Puji-Pujian, mengubat rindu peminat nasyid generasi lama dan baharu.
Di tengah kemuncak konsert, penonton turut dihiburkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah lumayan termasuk pakej tajaan umrah, baucar haji bernilai RM5,000, motosikal serta barangan berkaitan ibadah.

Malam semakin hangat apabila legenda muzik negara, Datuk M. Nasir, muncul membuat kejutan dengan menyampaikan lagu Perjalanan 2 dan Bonda. Kolaborasi ini menjadi antara momen paling ‘goosebumps’ sepanjang konsert.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap isu kemanusiaan, Inteam turut menyumbangkan RM10,000 kepada Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia bagi membantu rakyat Palestin, membuktikan seni juga mampu menjadi suara kemanusiaan.
Dalam ucapan ringkasnya, Rahim meluahkan rasa syukur atas kejayaan menganjurkan konsert di Axiata Arena, menyifatkan malam tersebut sebagai simbol sokongan padu peminat terhadap perjuangan nasyid di Malaysia.
Konsert Inteam 2026: Nur Kasih akhirnya melabuhkan tirai dengan penuh kesyahduan, meninggalkan kenangan manis buat penonton. Ia membuktikan bahawa nasyid bukan sekadar hiburan, tetapi medium dakwah yang terus berevolusi, menyentuh hati dan menyatukan masyarakat.
















