Dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan berita pemergian pelakon Along Eyzendy, atau nama sebenarnya Mohd Eyzendy Mohd Aziz, yang meninggal dunia pada usia 47 tahun awal pagi Ahad.
Teruskan MembacaBerita sedih itu disahkan oleh isterinya, Hamidah Mohd Yatim, yang memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 12.16 tengah malam di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, dikelilingi ahli keluarga terdekat.
Difahamkan, sebelum ini Along dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak Khamis lalu selepas mengalami pendarahan serius dalam perut. Beliau juga dilaporkan mengalami demam serta batuk berpanjangan dan disyaki berpunca daripada jangkitan pada stent di saluran hempedu.
Dilahirkan di Ipoh, Perak, ramai mungkin tidak tahu Along sebenarnya bermula sebagai peniup trumpet sebelum menceburi dunia lakonan sekitar tahun 2003.
Sepanjang lebih dua dekad dalam industri seni, Allahyarham membintangi pelbagai filem dan drama popular. Antaranya termasuk Lagenda Budak Hostel, Khurafat: Perjanjian Syaitan, Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang dan Mat Moto.
Selain filem, wajah Along juga cukup dikenali menerusi drama televisyen seperti Bini-Bini Perkasa, Keranamu Laila, Sanggul Beracun dan banyak lagi.
Pemergian Along Eyzendy pastinya meninggalkan kesan mendalam buat keluarga, rakan artis serta peminat yang mengikuti perjalanan seninya selama ini. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.
















