Penyanyi terkenal Ernie Zakri tampil memberi pandangan mengenai sikap segelintir pihak yang gemar mengkritik atau mencari kesalahan pada lagu raya baharu setiap kali menjelang Aidilfitri.
Menurut Ernie, perkara seperti itu sebenarnya tidak perlu dijadikan isu besar kerana setiap orang mempunyai citarasa muzik yang berbeza.
Teruskan MembacaMenerusi perkongsiannya di media sosial, Ernie menjelaskan bahawa muzik bersifat subjektif. Apa yang mungkin tidak kena dengan selera seseorang, mungkin sangat digemari oleh orang lain.
Tambahnya lagi, perbezaan selera itu perkara biasa dan boleh dilihat dalam banyak perkara, termasuklah pemilihan baju raya. Ada yang suka gaya klasik, ada juga yang lebih gemar fesyen moden.
“Kalau baju raya pun kita semua ada taste berbeza, apatah lagi muzik,” jelasnya.
Menurut penyanyi itu, jika seseorang tidak menyukai sesuatu lagu raya baharu, mereka sebenarnya mempunyai banyak pilihan lain untuk didengari tanpa perlu terlalu cepat mengkritik karya tersebut.
Dalam masa sama, Ernie turut berpendapat kepelbagaian lagu raya sebenarnya memberi warna kepada industri muzik tempatan. Malah, ada lagu yang pada awalnya dianggap terlalu moden namun akhirnya tetap diterima dan menjadi antara lagu raya yang popular.
Perkongsian Ernie itu juga bukan ditujukan kepada mana-mana pihak secara khusus, sebaliknya sekadar pandangan peribadinya tentang bagaimana masyarakat boleh lebih terbuka dalam menerima karya muzik.
Terdahulu, Ernie bersama suaminya Syamel turut tampil memeriahkan musim Aidilfitri tahun ini dengan lagu raya mereka berjudul “Suasana Raya.”
















