KUANTAN: Seorang pelajar IPT yang sebelum ini tular kerana didakwa memijak al-Quran dan memuat naik hantaran jelik di media sosial tampil di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini bagi menghadapi dua pertuduhan terhadapnya.
Teruskan MembacaTertuduh, S. Vikneswaran, 21, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan hakim dan memilih untuk dibicarakan.
Mahkamah kemudian membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. Selain itu, dia juga perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.
Vikneswaran yang merupakan penuntut di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hadir ke mahkamah sekitar jam 8.50 pagi dengan menaiki kenderaan polis. Dia dilihat memakai baju-T merah berlengan putih, tangan bergari dan dikawal ketat anggota polis ketika dibawa masuk ke dalam dewan mahkamah.
Mahkamah menetapkan 8 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara memaklumkan hasil penelitian terhadap kertas siasatan mendapati terdapat bukti mencukupi untuk mendakwa lelaki berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mencemarkan al-Quran dengan niat menghina agama Islam di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota Aman, Kuantan pada 22 Februari 2026. Kes itu didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memuat naik komunikasi jelik melalui aplikasi Threads menggunakan akaun “RYANDASELVA” dengan niat menyakitkan hati orang lain. Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh membawa denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Difahamkan, polis menerima sebanyak 82 laporan dari seluruh negara berhubung isu berkenaan dan 43 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Kes ini terus mendapat perhatian ramai di media sosial dan kini menunggu proses perbicaraan seterusnya di mahkamah.
















