Siapa sangka, di sebalik kehidupan bahagia hari ini, pelakon dan penyampai radio Ozlynn Waty pernah melalui fasa yang cukup perit bersama suaminya, Johan.
Menerusi perkongsiannya, Ozlynn mengimbas kembali detik awal perkahwinan mereka yang serba kekurangan. Katanya, ada waktu mereka langsung tak ada makanan, malah hidup ibarat “kais pagi makan pagi”.
Teruskan MembacaApa yang lebih menyentuh hati, Ozlynn mendedahkan dia pernah menerima nafkah daripada Johan hanya sebanyak RM1. Tapi bagi dirinya, jumlah itu bukan isu.
“Aku ambil duit tu, aku terima je sambil senyum,” katanya, menunjukkan betapa dia reda dan memahami keadaan suaminya ketika itu.
Menurut Ozlynn, dia sebenarnya lebih sedih melihat Johan yang tertekan mencari rezeki. Pernah satu ketika, Johan sendiri minta dia doakan agar dipermudahkan urusan.
Momen itu benar-benar memberi kesan kepadanya. Ozlynn mengaku dia tak mampu tahan air mata, terus masuk bilik air dan menangis sampai sakit tekak. Bukan sebab duit yang sedikit, tapi kerana luluh melihat suaminya dalam keadaan susah.
Namun di sebalik semua itu, Ozlynn tetap setia di sisi Johan. Dia nampak usaha keras suaminya dan tak pernah berhenti berdoa agar kehidupan mereka berubah.
Alhamdulillah, masa berlalu dan kini kehidupan mereka jauh lebih stabil. Segala kesusahan yang pernah dilalui menjadi kenangan yang menguatkan hubungan mereka hari ini.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Julai 2009 dan kini dikurniakan enam orang cahaya mata.
Kisah mereka ini memang buat ramai tersentuh, bukan tentang nilai RM1 itu, tapi tentang kesetiaan, pengorbanan dan bertahan bersama ketika susah.
















