Seorang individu di media sosial baru-baru ini berkongsi pengalaman kakaknya yang pernah bekerja dengan selebriti dan usahawan terkenal, Neelofa, sekali gus membuka cerita tentang sikap sebenar figura itu di tempat kerja.
Menurut perkongsian tersebut, Neelofa disifatkan sebagai seorang yang sangat rajin dan komited dalam menguruskan perniagaannya. Setiap perkara yang ingin dilakukan akan diteliti terlebih dahulu, malah dia juga sanggup melalui proses trial and error demi memastikan hasil yang terbaik.
Teruskan MembacaBukan itu sahaja, rutin hariannya juga dikatakan cukup padat. Sebelum ke pejabat, Neelofa sempat menyediakan pelbagai makanan di rumah untuk dibawa dan dikongsi bersama staf. Sikap itu membuatkan ramai pekerja selesa dan menghargai keprihatinannya.

Selepas tamat waktu kerja pula, Neelofa akan meluangkan masa di rumah untuk beribadah. Disebabkan jarak rumahnya yang dekat dengan pejabat, ada dalam kalangan staf yang rapat sehingga sering berkunjung ke kediamannya.
Apa yang lebih menarik, bekas staf tersebut turut menegaskan bahawa Neelofa bukanlah seorang majikan yang “bossy” atau bersikap diva seperti yang mungkin disangka segelintir pihak. Sebaliknya, dia seorang yang tegas dalam memastikan setiap kerja dilakukan dengan baik dan teratur.
Walaupun kakaknya sudah lama tidak lagi bekerja bersama Neelofa, rasa hormat terhadap bekas majikannya itu masih kekal hingga kini, menunjukkan hubungan baik yang terjalin bukan sekadar di tempat kerja.
Perkongsian ini secara tidak langsung memberi gambaran sisi lain Neelofa, bukan sahaja seorang yang berjaya dalam bisnes, tetapi juga berdisiplin, pemurah dan mengambil berat terhadap orang sekelilingnya.
















